KUCHING: Pemergian penganalisis ekonomi terkemuka, mendiang Profesor Madya Dato Dr Madeline Berma amat dirasai oleh ahli keluarga.
Sepupu mendiang, Calvert Brayan masih lagi terngiang-ngiang kata-kata mendiang semasa pertemuan mereka di Kuala Lumpur dua minggu lepas.
Ujarnya, mendiang berpesan agar menjaga diri sendiri dan adiknya yang rapat dengan mendiang.
"Pesannya, kalau tiada lagi saya di sini siapa nak jaga dia (adik mendiang) sebab kalau dari segi kewangan memang dia selalu menolong kami keluarga.
"Itu dipesannya kepada saya, pemergian beliau kepada kami keluarga memang satu kehilangan yang besar," katanya ketika ditemui di kediaman mendiang di Siol Kandis pada Khamis.
Mengimbau pengalaman mendiang sebagai seorang penyelidik, beliau mengingati seorang yang sentiasa turun padang untuk melakukan penyelidikan kerana pernah mengikuti beliau untuk melihat bagaimana dia menemu ramah orang secara peribadi.
Calvert juga sentiasa menyokong pendapat peribadi mendiang ketika dikritik orang ramai kerana mendiang memahami keadaan sebenar rakyat terutamanya penduduk luar bandar.
Mengingati pesanan terakhir, mendiang berpesan untuk menjaga kepentingan pendidikan dan kemahiran praktikal dan sentiasa terlibatkan dengan pembelajaran termasuk muzik dan kemahiran lain.
"Pesanan terakhirnya kepada saya dan cucu-cucunya ialah jika mereka tidak cemerlang dari segi teori, pergi untuk TVET atau kemahiran praktikal kerana kemahiran praktikal sangat penting untuk masa depan pekerjaan.
"Dia melihat masa depan dan memberi nasihat praktikal berdasarkan pengalaman dan pemerhatian," ujar beliau.
Dalam pada itu, seorang lagi sepupu mendiang, Nur Amni Amelia Abdullah menyifatkan Dato Dr Madeline sebagai seorang yang sangat rendah diri di samping menganggapnya sebagai figura ibu kepada semua sepupu.
Jelasnya, mendiang selalu menasihati, dan dua pesanan yang paling diingati iaitu untuk tidak menilai seseorang berdasarkan penampilan, dan bila bekerja menahan diri daripada terlalu vokal bila bekerja.
"Kita perlu tahu bila masa yang sesuai untuk bersuara dan bila perlu menenangkan diri.
"Dia menasihati saya kerana saya pernah melalui fasa di mana saya terlalu berkongsi semua di media sosial dan dia tegur saya supaya tidak terlalu terbuka dan simpan sedikit untuk diri sendiri," jelasnya.
Beliau turut menganggap Dato Dr Madeline sebagai pengikat keluarga di mana kehadiran dirinya akan memenuhi ruang rumah dengan kehadiran ahli keluarga yang lain.
Pesanan terakhirnya yang diingati Nur Amni ialah memastikan semua orang menerima Krismas dengan baik, dan buatlah pertemuan keluarga selagi boleh. -EDISI UKAS