MIRI: Sarawak memulakan langkah awal tahun baharu dengan penuh semangat apabila menyertai penganjuran sambutan khas di pintu masuk utama negara bersempena pelancaran rasmi kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) yang berlangsung di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Miri, di sini, pada Khamis.
Majlis sambutan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew bersamaTimbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Chiew Choon Man, serta Residen Bahagian Miri, Galong Luang.
Menurut kenyataan hari ini, Tourism Malaysia membuka tirai tahun 2026 dengan penganjuran acara sambutan serentak di pintu masuk utama dan hab pengangkutan awam di seluruh negara sebagai simbolik permulaan kempen VM2026, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh sektor pelancongan negara.
Para pelawat yang tiba di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Miri telah disambut dengan pelbagai aktiviti dan keraian menarik, termasuk persembahan kebudayaan tradisional dan kontemporari yang menampilkan keunikan warisan Malaysia.
Selain itu, pelawat turut menerima cenderamata eksklusif bertemakan VM2026 seperti rantai kunci maskot rasmi kempen - 'Wira dan Manja' - di samping edaran baucar, produk makanan dan minuman serta barangan promosi hasil sumbangan rakan strategik antaranya Sarawak Tourism Board dan Business Events Sarawak.
Kerjasama erat antara Tourism Malaysia, Kerajaan Sarawak serta rakan strategik industri pelancongan ini mencerminkan kesiapsiagaan Sarawak dalam menawarkan pengalaman pelancongan yang inklusif, inovatif dan lestari kepada pelawat dari dalam dan luar negara.
Dalam pada itu, Datuk Sebastian Ting menzahirkan harapan agar kempen VM2026 dapat menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke Sarawak, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri serta mempromosikan keindahan budaya dan produk pelancongan tempatan di peringkat global.-EDISI UKAS