Titisan Darah, Harapan Baharu: Masyarakat Miri Jayakan Kempen NSJA
MIRI: Semangat keprihatinan dan tanggungjawab sosial masyarakat terserlah menerusi Kempen Derma Darah Miri 2026 apabila 66 daripada 75 individu yang mendaftar tampil secara sukarela untuk menderma darah.
Kempen anjuran bersama Persatuan Wartawan Sarawak Utara (NSJA), Kelab Sosial MiriFM dan Shun Shen Lee (Miri) Trading Sdn Bhd itu berlangsung dari jam 9 pagi hingga 1 petang di Dewan Pameran, Aras 3, Pusat Membeli-belah Boulevard, Jalan Pujut, bersempena sambutan awal tahun baharu.
Program berkenaan bertujuan menyemai kesedaran masyarakat terhadap kepentingan amalan menderma darah serta membantu menampung keperluan bekalan darah di Hospital Miri.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur merangkap Bendahari NSJA, Andy Jong Wan Joon berkata, penganjuran kempen derma darah tersebut merupakan komitmen berterusan NSJA dalam melaksanakan tanggungjawab sosial sejak tahun 2019.
Menurut beliau, sebagai organisasi yang dianggotai pengamal media, NSJA berperanan menyampaikan mesej positif kepada masyarakat melalui tindakan nyata yang mampu memberi manfaat kepada golongan memerlukan.
“Setiap titisan darah yang didermakan amat bermakna dan mampu memberi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan,” katanya ketika ditemui semasa program berkenaan pada Khamis.
Sebagai tanda penghargaan, para penderma menerima sumbangan barangan keperluan asas hasil tajaan penaja program.
Kempen tersebut turut mendapat sokongan Tabung Darah Hospital Miri, Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Miri, Hospital Miri serta Boulevard Shopping Mall, selain beberapa penaja lain yang bersama menjayakan inisiatif kemasyarakatan tersebut. - EDISI UKAS