Operasi Bantuan Banjir Diteruskan, 10 PPS Kekal Aktif di Sarawak
KUCHING: Sebanyak 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih aktif dan beroperasi di seluruh Sarawak setakat jam 8.00 pagi ini, melibatkan seramai 1,140 mangsa daripada 287 Ketua Isi Rumah (KIR) susulan bencana musim tengkujuh.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan pada Junaat memaklumkan, PPS yang masih beroperasi tertumpu di beberapa kawasan di Bahagian Kuching, Samarahan, Limbang/Lawas dan Miri, dengan Bahagian Kuching mencatatkan jumlah mangsa tertinggi berikutan kenaikan paras air sungai di beberapa lokasi sejak akhir Disember lalu.
Menurut JPBNS, operasi pengurusan dan penyelarasan di semua PPS aktif terus dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan kebajikan, keselamatan serta keperluan asas mangsa sentiasa terjamin sepanjang tempoh pemindahan.
Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) merangkap Ketua Setiausaha JPBNS, Abdul Wahab Rahim menegaskan bahawa tahap kesiapsiagaan dan pemantauan berterusan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan penduduk terjejas sentiasa terpelihara.
“JPBNS akan terus mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan serta penyelarasan operasi di semua PPS yang masih aktif, di samping melaksanakan pemantauan berterusan terhadap situasi semasa bagi memastikan keselamatan dan ebajikan penduduk terjejas sentiasa terpelihara.”
Beliau turut menasihatkan orang ramai, khususnya penduduk di kawasan berisiko, agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengikuti maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh JPBNS dari semasa ke semasa.