Pelancaran AirBorneo Pacu Pengukuhan Strategik Keterhubungan Penerbangan Sarawak
KUCHING: Pelancaran rasmi AirBorneo menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan industri penerbangan Sarawak, sekali gus memperkukuh strategi jangka panjang negeri itu untuk meningkatkan keterhubungan udara dan menyokong pembangunan ekonomi merentasi kawasan bandar serta luar bandar.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kejayaan pengambilalihan MASwings pada 1 Januari 2026 serta pelancaran penerbangan sulung AirBorneo mencerminkan hasil perancangan terperinci dan komitmen berterusan pelbagai pihak berkepentingan.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pasukan yang terlibat dalam proses peralihan tersebut, sambil menyatakan bahawa persediaan intensif, mesyuarat penyelarasan yang kerap serta kerjasama rapat antara agensi telah memastikan pengambilalihan operasi berjalan lancar dan mengikut jadual.
Menurutnya, penubuhan AirBorneo bukan sekadar peralihan korporat, sebaliknya merupakan langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem penerbangan Sarawak, khususnya bagi sebuah negeri yang mempunyai geografi luas dan bergantung kepada rangkaian udara.
“Bagi Sarawak, keterhubungan udara bukan satu kemewahan, tetapi satu keperluan.
"Penerbangan memainkan peranan penting dalam menghubungkan komuniti luar bandar dan pedalaman, menyokong perdagangan, pelancongan, pendidikan, kesihatan serta memudahkan perniagaan dan pelaburan,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran penerbangan pertama AirBorneo di Terminal VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Jumaat.
Dato Sri Lee berkata, keputusan Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan AirBorneo mencerminkan pendekatan berpaksikan pembangunan, memandangkan sektor penerbangan mampu menjana kesan pengganda yang signifikan melalui pengwujudan pekerjaan, pertumbuhan pelancongan dan aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
Melalui AirBorneo, katanya, Kerajaan Sarawak kini memiliki dan mengendalikan rangkaian penerbangan bekas MASwings, yang terus menyediakan perkhidmatan udara luar bandar penting di Sarawak, Sabah dan Labuan.
“AirBorneo berbeza daripada syarikat penerbangan lain. Kami beroperasi dalam dua aspek, iaitu perkhidmatan udara luar bandar di bawah perjanjian obligasi perkhidmatan awam serta segmen penerbangan komersial. Kesemua aspek ini akan dikaji secara profesional bagi memastikan kelestarian jangka panjang,” katanya.
Sepanjang tempoh peralihan, beliau memberi jaminan bahawa operasi akan diteruskan seperti biasa, dengan keselamatan, kebolehpercayaan dan kesinambungan perkhidmatan kekal sebagai keutamaan, di samping mengekalkan keseimbangan antara disiplin komersial dan mandat perkhidmatan awam.
Beliau turut memaklumkan bahawa AirBorneo akan berkembang secara berperingkat ke laluan serantau terpilih berdasarkan ketersediaan pesawat, permintaan pasaran, kelestarian laluan serta perjanjian perkhidmatan udara dua hala yang berkuat kuasa, bagi memastikan pertumbuhan yang berhemah dan mampan.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi AirBorneo Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan dan Pembangunan Ekonomi) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Datu Wong Hee Sieng; serta tetamu-tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS