AirBorneo Guna Kaedah Kolaboratif & Progresif, Seru Sokongan Awam Pada Fasa Awal
KUCHING: Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo akan menerima pakai pendekatan kolaboratif dan progresif dalam fasa seterusnya operasi syarikat, dengan penekanan terhadap penambahbaikan perkhidmatan serta pengukuhan ekosistem penerbangan, susulan pelancaran penerbangan sulungnya.
Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi AirBorneo Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, penubuhan syarikat penerbangan itu mencerminkan visi jauh Kerajaan Sarawak dalam memperkasa infrastruktur pengangkutan demi kesejahteraan rakyat.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas misi jangka panjang dalam memperkukuh keterhubungan, sambil menyifatkan pelancaran AirBorneo sebagai langkah pertama dalam perjalanan panjang ke arah sektor penerbangan yang lebih berdaya tahan dan berteraskan rakyat.
“Setiap perjalanan mesti bermula dengan satu langkah. Melangkah ke hadapan, kami akan terus menilai cara kerja dan mencari ruang penambahbaikan bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran penerbangan sulung AirBorneo di Terminal VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Jumaat.
Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil, serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar berkata, AirBorneo tidak akan beroperasi secara bersendirian, sebaliknya mengamalkan model kolaboratif dengan bekerjasama rapat bersama rakan strategik dan pemain industri bagi menyampaikan perkhidmatan udara yang cekap dan boleh dipercayai.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama merentas pihak berkepentingan adalah penting kerana tiada satu entiti mampu membangunkan ekosistem penerbangan yang kukuh secara bersendirian, lebih-lebih lagi di Sarawak yang mempunyai cabaran geografi dan keterhubungan yang unik.
Walaupun komited untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti, beliau mengakui bahawa masa diperlukan untuk AirBorneo mencapai tahap kematangan, sambil menyeru orang awam, komuniti serta pihak media agar memberikan sokongan dan kefahaman sepanjang fasa awal operasi.
“Kita tidak boleh mengharapkan kesempurnaan pada langkah pertama atau kedua. Apa yang penting ialah kita terus bergerak ke hadapan, melakukan penambahbaikan berterusan dan kekal fokus dalam berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen AirBorneo untuk mengekalkan standard perkhidmatan terbaik, selari dengan realiti operasi dan keperluan kelestarian jangka panjang.
Menurutnya, pembangunan AirBorneo akan dipandu oleh pendekatan mengutamakan rakyat, bagi memastikan peningkatan keterhubungan membawa manfaat nyata kepada komuniti di seluruh Sarawak.
Hadir sama, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan dan Pembangunan Ekonomi) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Datu Wong Hee Sieng; serta tetamu-tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS