Pertandingan Bola Sepak Veteran 9 Sebelah Perkukuh Silaturahim Komuniti Beting Maro
PUSA: Pertandingan Bola Sepak Veteran 9 Sebelah 2025/2026 menjadi platform memperkukuh semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
Ahli Parlimen Batang Lupar Mohammad Shafizan Kepli berkata, penganjuran pertandingan tersebut berperanan menyatukan pasukan perlawanan, komuniti setempat serta mengukuhkan hubungan antara belia dan warga veteran melalui aktiviti sukan yang sihat.
“Di dalam padang kita berlawan, di luar kita kekal sebagai kawan dan akrab,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutupan pertandingan itu di Dataran Temenggung Kadir, Beladin, di sini pada Sabtu.
Mohammad Shafizan turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan penganjuran kejohanan tersebut, sambil menegaskan bahawa program berasaskan sukan wajar diberi sokongan berterusan demi kesejahteraan komuniti.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan komuniti setempat agar tampil ke Pusat Khidmat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya mempunyai cadangan penganjuran program, supaya dapat dinilai dan dilaksanakan secara bersama.
Ahli Parlimen Batang Lupar itu turut menzahirkan harapan agar golongan belia di kawasan ini terus maju dan berjaya melalui penglibatan aktif dalam bidang sukan, selaras dengan peranan mereka sebagai aset dan bakal pemimpin masa hadapan.
Pertandingan yang bermula sejak awal Disember 2025 itu melibatkan sembilan pasukan dari Kuching, Sebuyau, Beladin, Pusa serta kampung-kampung sekitar sebelum melabuhkan tirai.
Ia menyaksikan Armada FC muncul sebagai juara, diikuti Snipper N29 di tempat kedua, Mix Hijiba FC di tempat ketiga manakala Kaslap FB di tempat keempat.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Dato Razaili Gapor, Pemanca Daerah Pusa Rosli Uji, Penghulu Zon Beladin Zakaria Mos, Penghulu Spinang, Semarang dan Batang Maro Musa Zin serta Ketua Pemuda N29 Beting Maro, Awang Nasfarini Awang Sarbini.-EDISI UKAS