Pesta Ambal Asajaya 2026 Serlahkan Keunikan Masakan Berasaskan Ambal
ASAJAYA: Pesta Ambal Asajaya 2026 berjaya menonjolkan keunikan pelbagai masakan berasaskan ambal sekali gus menarik kehadiran ramai pengunjung dari sekitar Samarahan dan kawasan berhampiran yang berlangsung di Dataran Asajaya pada Sabtu.
Pesta tersebut dimulakan dengan aktiviti AmbalHunt pada sebelah pagi yang menyaksikan hasil tangkapan ambal segar habis terjual dalam tempoh singkat.
Kesemua hasil laut berkenaan ditawarkan kepada orang ramai pada harga 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran sebagai galakan kepada pengunjung untuk merasai sendiri keenakan hasil laut ikonik daerah Asajaya.
Kemeriahan pesta diteruskan pada sebelah petang menerusi acara Ambalicious yang menjadi platform utama mempromosikan kepelbagaian kulinari berasaskan ambal.
Melalui segmen ini, pengunjung bukan sahaja berpeluang menikmati pelbagai variasi masakan secara percuma, malah turut didedahkan dengan teknik penyediaan serta perkongsian resipi tradisional dan moden oleh tukang masak tempatan yang berpengalaman.
Program ini dilihat memberi impak ekonomi yang signifikan kepada peniaga dan komuniti setempat selain memperkukuhkan identiti Asajaya sebagai destinasi pelancongan berasaskan makanan yang unggul.
Maklum balas positif daripada pengunjung menunjukkan penganjuran ini berjaya mencapai objektifnya dalam mempromosikan hasil bumi daerah Asajaya. -EDISI UKAS