Golongan Asnaf Di Kampung Beladin Terima Bakul Makanan
PUSA: Sebanyak 90 bakul makanan telah diserahkan kepada golongan asnaf di Kampung Beladin dalam satu majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Masjid Al-Amin Beladin, di sini, pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Dato Razaili Gapor berkata, program kebajikan seumpama itu bertujuan meringankan beban golongan kurang berkemampuan serta memupuk budaya bersedekah dalam kalangan masyarakat Islam.
Beliau menyeru umat Islam khususnya di Kampung Beladin untuk terus meningkatkan amal ibadah sebagai bekalan di akhirat, selain mengamalkan sikap saling membantu antara satu sama lain.
“Setiap kebajikan yang kita lakukan mempunyai ganjaran yang besar di sisi Allah SWT,” katanya semasa berucap dalam majlis tersebut.
Tambah beliau, sumbangan bakul makanan itu akan diteruskan ke kampung-kampung lain dalam kawasan DUN Beting Maro bagi memastikan lebih ramai golongan asnaf menerima manfaat.
Dato Razaili turut menggesa masyarakat agar memperbanyakkan amalan sedekah kerana ia bukan sahaja membantu golongan memerlukan, malah merupakan amalan mulia yang dituntut dalam Islam.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya merancang dan melaksanakan lebih banyak program bersama komuniti setempat bagi mengukuhkan perpaduan serta kesejahteraan masyarakat.-EDISI UKAS