KV Miri Landas Youth Team Juara PSK16 Petronas Youth Football Championship League 2025
KUCHING: KV Miri Landas Youth Team muncul juara Petronas Youth Football Championship League 2025 Kategori PSK16 selepas menewaskan My Team X SMKAI, 2-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung sengit di Stadium Sarawak, Petra Jaya pada Sabtu.
Gol-gol kemenangan pasukan itu dijaringkan pada minit ke-25 dan ke-60, untuk memastikan KV Miri Landas Youth Team mengesahkan kejuaraan.
Tempat ketiga bersama pula diraih oleh Kelab Pembangunan Bola Sepak SMK Sri Matang dan Sarikei FA.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.
Sementara itu, bagi Kategori PSK14, johan dirangkul Cascara Junior, Sekolah Sukan Negeri Sarawak (SSN) muncul naib johan, manakala Mukah FA dan Al Mateem Football Academy berkongsi tempat ketiga.
Untuk kategori ini, hadiah telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Omar Mahli.
Sementara itu, beberapa anugerah individu turut disampaikan pada malam tadi.
Bagi PSK14, anugerah Fair Play dimenangi Kuching City Football Club Academy, Penjaring Terbanyak disandang oleh Zainul Ariffin Mohd Zainuddin dengan sembilan gol, Penjaga Gol Terbaik dirangkul Aiman Ihtisyam Abrisam dari Cascara Junior, manakala Pemain Terbaik menjadi milik Vanderan Belikau dari SSN Sarawak.
Bagi PSK16 pula, anugerah Fair Play dimenangi pasukan NFDD Sarawak, Penjaring Terbanyak milik Mohd Aidil Ikhwan Mohamad dengan lima gol, Penjaga Gol Terbaik disandang Bryan Nistelroy Joshua dari KV Miri Landas Youth Team, manakala Pemain Terbaik milik Abdul Rafiq Rezwan Abdul Rahman, juga dari KV Miri Landas Youth Team.
Hadir sama, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak Datu Kameri Affandi, Pengurus Besar Kanan, Perhubungan Pihak Berkepentingan, Perhubungan Strategik dan Komunikasi Kumpulan Petronas Khairuddin M Jaafar, Pengurus Besar Petronas Sarawak merangkap Pengerusi Bersama Petronas Youth Football Championship League 2025, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Morshidi Fredrick serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS