Timbalan Menteri Utiliti Sarawak Santuni Mangsa Banjir di Kampung Sungai Maong
KUCHING: Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki turun padang melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Darul Istiqlaal, Kampung Sungai Maong, pada Sabtu.
Dalam lawatan kira-kira setengah jam itu, Datuk Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok mengambil kesempatan menyantuni mangsa-mangsa banjir serta meninjau keadaan semasa di PPS berkenaan.
Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada wakil ketua isi rumah daripada 26 keluarga yang terpaksa dipindahkan ke PPS tersebut akibat banjir.
Menurut rekod, PPS Masjid Darul Istiqlaal, Kampung Sungai Maong yang dibuka pada 2 Januari 2026 kini menempatkan seramai 128 mangsa banjir daripada 26 keluarga, terdiri daripada 70 orang dewasa, 41 kanak-kanak, 16 warga emas dan seorang bayi. -EDISI UKAS