Dasar Inklusif Kerajaan Negeri Perkasa Kualiti Hidup Rakyat Sarawak
KUCHING: Sarawak disenaraikan sebagai antara lima tempat terbaik untuk bersara, didorong oleh kestabilan ekonomi negeri serta pelaksanaan dasar berorientasikan kebajikan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang berkata Sarawak merupakan antara wilayah yang mencatatkan hasil pendapatan terbesar di Malaysia, sekali gus membolehkan pelbagai inisiatif rakyat dilaksanakan secara mampan.
Menurut beliau, antara kelebihan utama Sarawak ialah kadar tarif elektrik dan air yang rendah, cukai pintu yang berpatutan serta pelaksanaan pendidikan tinggi percuma kepada anak Sarawak.
“Dahulu ibu bapa bimbang mengenai kos dan peluang pendidikan tinggi anak-anak. Namun di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, kerajaan negeri telah menyediakan pendidikan tinggi percuma bagi memastikan akses pendidikan lebih inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Latihan Housekeepinganjuran Special Needs Society Kuching (SNSK) di Kuching, pada Ahad.
Datuk Lo menegaskan pendidikan merupakan kunci utama dalam pembinaan negara dan pembangunan modal insan.
Dalam pada itu, beliau turut memuji peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Special Needs Society Kuching, yang terus komited menjaga kebajikan golongan berkeperluan khas serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, pembangunan Sarawak bukan sahaja tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi, malah turut menekankan aspek keprihatinan dan kesejahteraan sosial. - EDISI UKAS