DALAT: Keadaan banjir di Daerah Dalat setakat ini dilaporkan masih terkawal dan berada dalam keadaan baik hasil pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kejadian banjir kali ini berbeza berbanding tahun lalu kerana ia berpunca daripada fenomena air pasang besar serta hujan berterusan, sekali gus menyebabkan limpahan air di kawasan rendah.
“Sebahagian besar rumah yang dimasuki air terletak di kawasan rendah,” katanya ketika ditemui selepas turun padang meninjau situasi semasa banjir di daerah tersebut, pada Ahad.
Beliau turut menghadiri sesi taklimat kesiapsiagaan banjir Daerah Dalat yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Ud sebelum memulakan lawatan tinjauan ke beberapa kawasan terjejas.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat memaklumkan beberapa langkah telah dibincangkan bagi mengurangkan risiko banjir serta kerosakan pada masa hadapan.
Antara cadangan yang dikenal pasti termasuk menaikkan paras jalan di kawasan rendah yang sering dinaiki air dan mengalami gangguan laluan seperti di Kampung Tanam, Kampung Sungai Ud serta selekoh Kampung Teh.
Beliau turut menasihatkan penduduk setempat agar mengambil iktibar dan memanfaatkan pengalaman lalu dalam menghadapi situasi banjir semasa bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga sentiasa terjamin.
Turut hadir, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Pegawai Pertahanan Awam Dalat Leftenan Muda (PA) Muhammad Helmi Halim serta wakil Pegawai Daerah Dalat, Rosiah Moris.