Dato Sri Fatimah Santuni Keluarga Mangsa Lemas Di Oya
OYA: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah menyantuni keluarga mangsa lemas yang berlaku di Oya pada Ahad.
Kehadiran beliau bertujuan menyampaikan sokongan moral serta menyatakan simpati kepada waris mangsa yang terlibat.
Dalam lawatan itu, Dato Sri Fatimah turut meluangkan masa bersama keluarga mangsa bagi mendengar kronologi kejadian serta berkongsi pandangan berhubung situasi yang menimpa mereka.
Mangsa dikenali sebagai Awang Ismail Awang Rosidi, 28, yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari perahu pada pagi Sabtu lalu.
Susulan kejadian tersebut, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan pada hari yang sama sebelum ditangguhkan pada jam 5.05 petang berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
Mangsa kemudiannya ditemui meninggal dunia oleh penduduk kampung kira-kira jam 8.50 pagi Ahad, pada jarak lebih kurang 800 meter dari pantai Oya.