Naik Taraf Trek Larian dan Padang Bola Sepak Meradong Siap Fasa Pertama
BINTANGOR: Usaha menaik taraf trek larian dan padang bola sepak di kompleks sukan Meradong yang telah lama diperjuangkan akhirnya membuahkan hasil apabila fasa pertama projek tersebut siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek berkenaan telah dibangkitkan secara konsisten sejak beliau mula memegang amanah sebagai wakil rakyat kawasan itu.
Menurutnya, fasa pertama projek melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM2.5 juta, manakala fasa kedua yang merangkumi pembinaan stadium tertutup serta beberapa kerja luaran lain dianggarkan menelan kos sebanyak RM3.5 juta.
“Sebelum ini, saya mencadangkan pemasangan lampu solar di sekitar kompleks sukan berkenaan bagi meningkatkan tahap keselamatan serta memudahkan penduduk menjalankan aktiviti riadah dan bersukan pada waktu malam,” katanya di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Datuk Ding menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak terlibat yang meluluskan dan menjayakan projek tersebut.
“Kemudahan ini amat penting khususnya kepada komuniti setempat dan pihak sekolah yang sebelum ini terpaksa menggunakan fasiliti di lokasi lain bagi menjalankan aktiviti sukan,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk Meradong agar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan sedia ada di kompleks tersebut buat sementara waktu sebelum ia ditutup sepanjang tempoh pelaksanaan projek fasa kedua.
Projek tersebut dijangka memberi manfaat jangka panjang dalam meningkatkan kemudahan sukan, rekreasi serta kesejahteraan masyarakat di Meradong.-EDISI UKAS