Sistem Saliran Kampung Plaie dan Jegoi Diteliti, Langkah Awal Tangani Isu Banjir
KOTA SAMARAHAN: Isu sistem saliran yang dikenal pasti sebagai antara punca utama kejadian banjir di Kampung Plaie dan Kampung Jegoi diberi perhatian serius menerusi satu lawatan tapak yang diadakan pada Isnin.
Lawatan tersebut diketuai oleh Pejabat Residen Bahagian Samarahan dan disertai Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang bersama Pegawai Tadbir Khas Integrated Regional Samarahan Development Agency (IRSDA) Anuar Da’an.
Tinjauan itu memfokuskan kepada penilaian keadaan sistem saliran dan perparitan di kedua-dua kampung yang terjejas akibat banjir minggu lalu.
Ia termasuk mengenal pasti punca kegagalan aliran air yang menyebabkan air melimpah dan menakung di kawasan penempatan penduduk.
Penemuan hasil lawatan tapak ini akan dijadikan asas penting bagi merangka tindakan susulan yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Hal ini khususnya melibatkan penambahbaikan sistem perparitan demi mengurangkan risiko banjir berulang pada masa hadapan. -EDISI UKAS