Kontraktor Projek Jalan Kampung Bawang Ditamatkan, Akan Ditender Semula
MATU: Projek pembinaan Jalan Kampung Bawang di sini yang bermula sejak lebih empat tahun lalu ditamatkan sepenuhnya selepas gagal disiapkan oleh pihak kontraktor walaupun beberapa kali diberikan lanjutan tempoh.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, projek berkenaan telah lama dikategorikan sebagai projek bermasalah atau projek sakit dan segala usaha penyelamatan yang dilaksanakan sebelum ini tidak membuahkan hasil.
Menurut beliau, walaupun kemajuan fizikal projek telah mencapai kira-kira 81 peratus, kontraktor terlibat masih gagal menyiapkannya mengikut tempoh ditetapkan meskipun telah diberikan peluang berulang kali.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak bagi meninjau status terkini projek pembinaan jalan tersebut di Kampung Bawang baru-baru ini.
Tambah beliau, projek berkenaan sepatutnya siap sepenuhnya dua tahun lalu berdasarkan jadual asal, namun kelewatan berpanjangan telah memberi kesan langsung kepada keperluan serta kepentingan penduduk setempat.
Jelasnya, Jalan Kampung Bawang merupakan infrastruktur penting kepada penduduk kerana bukan sahaja berfungsi sebagai laluan alternatif yang lebih baik, malah berupaya mengurangkan risiko banjir yang sering berlaku setiap tahun di kawasan berkenaan.
Selain itu, pembinaan jalan tersebut turut dijangka membuka kawasan tanah baharu yang berpotensi dimanfaatkan penduduk bagi tujuan pembangunan serta meningkatkan aktiviti ekonomi setempat.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Jabatan Kerja Raya telah mengeluarkan surat penamatan kontrak kepada kontraktor terlibat pada awal Januari 2026.
Beliau berharap proses tender semula dapat dilaksanakan dengan segera supaya projek berkenaan dapat diteruskan tanpa kelewatan memandangkan keperluannya yang amat mendesak kepada rakyat di Kampung Bawang.
“Projek ini merupakan keperluan asas rakyat dan saya berharap proses tender semula dapat dipercepatkan demi kesejahteraan penduduk setempat,” katanya.
Turut hadir, wakil JKR Mukah, Awang Dasuki Awang Dol serta Penolong Pegawai Daerah Matu, Zaraina Sahari.-EDISI UKAS