Sarawak Perkukuh Jambatan Budaya Jepun Menerusi “The ACG Concert 2026”
KUCHING: Konsert “The Animation, Comics and Games (ACG) Concert 2026” diangkat sebagai platform berimpak tinggi yang menghubungkan bakat tempatan dengan jaringan seni antarabangsa, khususnya Jepun.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran konsert berskala stadium itu membuktikan kesiapsiagaan Sarawak dalam menganjurkan acara bertaraf antarabangsa yang menggabungkan orkestra tradisional dengan elemen budaya pop moden.
“Acara ini bermula sebagai platform persembahan muzik tempatan, namun kini berkembang menjadi acara mercu tanda serantau yang mencerminkan keupayaan Sarawak menganjurkan persembahan berskala besar bertaraf antarabangsa,” katanya dalam sidang media The ACG Concert 2026 di Bilik Mesyuarat Mulu, Bangunan Baitul Makmur II, Petra Jaya, pada Rabu.
Konsert yang dianjurkan oleh The Band Lab dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) itu dijadual berlangsung pada 31 Januari 2026 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.
Mengulas tema konsert, Dato Sri Abdul Karim menjelaskan bahawa “The ACG Concert 2026” mengangkat konsep Bridges atau jambatan budaya yang memfokuskan kepada pembinaan Jambatan Budaya Sarawak–Jepun sebagai bentuk diplomasi budaya berkesan.
“Melalui muzik, kita menyaksikan satu bentuk diplomasi budaya yang sofistikated dan berimpak tinggi. Hubungan ini diasaskan menerusi Sarawak International Band and Orchestra Festival (SIBOFest) 2024 yang menyaksikan kehadiran lebih 70 pemuzik dari Jepun ke Kuching,” ujarnya.
Menurut beliau, kejayaan festival tersebut membawa kepada penubuhan The Band Lab Japan sebagai cawangan rakan rasmi kepada The Band Lab Kuching, sekali gus mengukuhkan hubungan institusi seni antara kedua-dua negara.
Tambahnya, beberapa pemuzik dari Jepun akan terlibat secara langsung dalam persembahan bersama bakat tempatan pada konsert kali ini, sekali gus memperkukuh pertukaran budaya dua hala.
Dato Sri Abdul Karim turut menzahirkan kebanggaan terhadap pencapaian pemuzik muda Sarawak yang semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa, termasuk menerusi program pertukaran budaya ke Jepun yang disokong kementeriannya pada September tahun lalu.
“Melalui pendedahan antarabangsa ini, mereka bukan sekadar mempersembahkan muzik, tetapi berperanan sebagai duta muhibah muda yang membina hubungan dua hala dan rasa saling menghormati antara Sarawak dan Jepun,” katanya.
Jelasnya, hasil jaringan dan kredibiliti yang dibina itu turut membolehkan Sarawak mencipta sejarah apabila kumpulan tarian sensasi global dari Jepun, Avantgardey, bakal membuat persembahan sulung mereka di Borneo menerusi The ACG Concert 2026.
Dari sudut ekonomi kreatif dan pelancongan, beliau menegaskan bahawa konsert berkenaan sejajar dengan trend concert tourism yang semakin berkembang, di mana peminat sanggup merentas sempadan demi pengalaman seni berkualiti tinggi.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada The Band Lab atas keberanian dan visi besar mereka dalam merealisasikan konsert tersebut serta menyeru rakyat Sarawak untuk bersama-sama memeriahkan Stadium Perpaduan kelak.-EDISI UKAS