KPDN Sarawak Perhebat Jualan Rahmah dan OPS KESAN 5.0 Back to School di Miri
MIRI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sarawak terus mempergiat usaha membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat menerusi pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dan OPS KESAN 5.0 Back to School menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.
Usaha berkenaan dikuatkuasakan melalui sesi walkabout dan pemantauan harga yang diketuai Pengarah KPDN Negeri Sarawak, Matthew Dominic Barin di Everwin Supermarket, Jalan Pujut 7 di sini, Selasa.
Menurut Matthew, pelaksanaan PJRM Back to School di premis tersebut yang berlangsung sejak 5 Januari dan berakhir hari ini menawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus melibatkan lebih 56 item keperluan persekolahan termasuk pakaian seragam, alat tulis serta kelengkapan sekolah.
“Pelaksanaan PJRM Back to School secara bertema oleh KPDN Sarawak bermula 1 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026 merupakan langkah bersasar kerajaan bagi menangani peningkatan kos sara hidup, khususnya dalam membantu ibu bapa dan pelajar mendapatkan barangan persekolahan pada harga yang lebih berpatutan,” katanya.
Beliau menambah, setakat ini sebanyak 87 Program Jualan Rahmah Back to School telah dilaksanakan di seluruh Sarawak, dengan lima daripada tujuh jualan di peringkat bahagian berjaya direalisasikan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat.
Dalam masa sama, KPDN Sarawak katanya turut memperkukuh aspek penguatkuasaan menerusi OPS KESAN 5.0 Back to School yang dilaksanakan dari 5 hingga 11 Januari 2026 di semua premis perniagaan bandar dan luar bandar di seluruh negeri.
Operasi tersebut dilaksanakan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barangan persekolahan secara tidak munasabah.
“Hasil pemeriksaan setakat 5 Januari 2026 mendapati empat Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) telah dikeluarkan melibatkan 17 jenis barangan kelengkapan persekolahan termasuk pakaian seragam dan peralatan sekolah, dan kesemua kes kini dalam siasatan,” jelas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa peniaga yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 dan sehingga RM1 juta bagi kesalahan berulang.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua peniaga agar menjalankan perniagaan secara beretika dan berhemah demi mewujudkan situasi menang-menang antara peniaga dan pengguna, selain menggalakkan orang ramai menjadi pengguna bijak serta menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku peniaga kepada KPDN.
Sebarang aduan boleh disalurkan melalui WhatsApp 019-848 8000, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.-EDISI UKAS