KUCHING: Sarawak mengukuhkan peranannya sebagai peneraju industri aeroangkasa serantau apabila bakal menganjurkan Asia Pacific Aerospace Conference & Exhibition (APACE) 2026 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 26 hingga 29 Januari ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, persidangan dan pameran ini memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dalam bidang aeroangkasa dan penerbangan.
"Seperti yang semua sedia maklum, Sarawak kini mempunyai syarikat penerbangan sendiri iaitu Air Borneo, dan kami mahu rakyat Sarawak memiliki kemahiran dalam bidang avionik, penerbangan, aeroangkasa, teknologi satelit dan sebagainya.
"Itulah sasaran utama kami pada peringkat awal," katanya dalam sidang media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya pada Selasa.
Dato Sri Roland menambah, persidangan dan pameran ini dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat bersama ICATS University College, dengan sokongan daripada Business Events Sarawak dan Borneo Business Connect.
Difahamkan, acara ini dijangka menghimpunkan lebih 3,000 pengunjung, lebih 1,000 perwakilan, lebih 50 pempamer dan lebih 60 penceramah terkemuka, yang meliputi lebih 50 sesi persidangan termasuk dari National Aerospace Industry Corporation (NAICO Malaysia), NACO Netherlands, Malaysian Space Agency (MYSA), Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) dan NOVASPACE Perancis.
Dalam pada itu, Dato Sri Roland memberitahu, kehadiran delegasi ini juga bagi menjemput Premier Sarawak untuk merasmikan APACE 2026 kelak.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini