TBS Anjur Program Back To School 2026, Ringan Beban Ibu Bapa Golongan Asnaf
BINTULU: Program Back To School 2026 anjuran Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Bahagian Bintulu terus menjadi inisiatif tahunan dalam membantu meringankan beban ibu bapa, khususnya golongan asnaf, dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak.
Ketua Bahagian Tabung Baitulmal Sarawak Bahagian Bintulu, Zaini Ramli berkata, penganjuran program itu bukan sahaja bertujuan menyediakan bantuan keperluan sekolah, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara ibu bapa, anak-anak dan pihak penganjur.
“Program Back To School ini merupakan program tahunan yang dianjurkan bagi meringankan beban ibu bapa dalam membuat persiapan anak-anak untuk kembali ke sekolah.
“Selain itu, program ini turut menyediakan ruang kepada ibu bapa untuk mendapatkan maklumat dan rujukan berkaitan bantuan serta keperluan persekolahan anak-anak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Back To School 2026 Tabung Baitulmal Sarawak yang berlangsung di Balairaya Jepak, di sini pada Selasa.
Menerusi program berkenaan, tambahnya, pelbagai barangan dan kelengkapan sekolah diagihkan kepada kanak-kanak bagi memastikan mereka dapat membuat persiapan awal sebelum sesi persekolahan bermula.
Menurut Zaini, pihak penganjur turut menjemput wakil Yayasan Kepimpinan Al Bait (YKAB) dari Kuching bagi menyediakan perkhidmatan potong rambut secara percuma khas untuk anak-anak yang terlibat.
Tambah beliau, ibu bapa juga diberi peluang mendapatkan penjelasan mengenai bantuan persekolahan termasuk bantuan khas untuk murid sekolah rendah dan menengah yang memerlukan pengisian borang permohonan lengkap.-EDISI UKAS