Tiga Projek RTP Bernilai RM690,000 Dilaksanakan Di DUN Jepak
BINTULU: Sebanyak tiga projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan kos keseluruhan RM690,000 sedang dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak bagi menambah baik infrastruktur asas serta menangani masalah hakisan di kawasan berisiko.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, projek berkenaan dikenal pasti berdasarkan keperluan rakyat setempat dan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan serta kemudahan awam.
Menurut beliau, projek pertama melibatkan pembinaan dinding penahan dan menembok tapak perkuburan Kuala Serupai yang digunakan oleh enam buah rumah panjang dengan kos RM440,000 bagi menghalang hakisan.
“Projek kedua pula ialah pembinaan culvert serta jalan masuk ke Rumah Lebong Luang, Sungai Seterus dengan peruntukan sebanyak RM150,000,” katanya.
Tambah beliau, projek ketiga membabitkan pembinaan tembok penahan jenis gabion wall di Kampung Sungai Sebuan Besar yang menelan kos RM100,000.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas lawatan penyerahan tapak projek RTP di Kampung Sungai Sebuan Besar, Jepak di sini pada Selasa.
Iskandar menegaskan bahawa pelaksanaan projek RTP tersebut merupakan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan keperluan asas penduduk luar bandar dipenuhi serta keselamatan kawasan kediaman dan kemudahan awam sentiasa terpelihara.
Beliau turut memaklumkan bahawa semua projek akan dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan dengan kerjasama kontraktor, agensi kerajaan serta sokongan komuniti setempat.
Dalam pada itu, Iskandar merakamkan penghargaan kepada ketua kaum, tuai rumah dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) atas kerjasama erat dalam memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.