Pegawai Daerah Meradong Baharu Terima Tugas, Teruskan Kesinambungan Pentadbiran Daerah
MERADONG: Wee Teck Min dilantik sebagai Pegawai Daerah Meradong yang baharu, menggantikan Thomas Geoffery Kendawang yang telah menamatkan tempoh perkhidmatan beliau.
Majlis Penyerahan Tugas Pegawai Daerah Meradong telah diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Meradong pada Selasa dan turut disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Dalam ucapannya, beliau menyampaikan ucapan penghargaan kepada mantan Pegawai Daerah Meradong serta mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada Pegawai Daerah Meradong yang baharu.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Thomas Geoffery atas jasa serta khidmat bakti beliau sepanjang menerajui pentadbiran Daerah Meradong, khususnya dalam memastikan kelancaran pengurusan dan pembangunan daerah.
Pesta Meradong 2026
Datuk Ding dalam pada itu berharap agar Pegawai Daerah Meradong yang baharu dapat segera mengemukakan permohonan dana peruntukan kepada MYSed Sarawak bagi menyokong penganjuran Pesta Meradong 2026.
Beliau menegaskan bahawa peruntukan berkenaan amat penting bagi memastikan penganjuran pesta tersebut dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan meriah, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh warga Meradong.
Selain itu, Datuk Ding memaklumkan bahawa penganjuran acara Power Boat Racing dijangka menjadi antara tarikan utama sempena Pesta Meradong 2026, yang berpotensi menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar kawasan serta merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
Majlis penyerahan tugas ini mencerminkan semangat kesinambungan kepimpinan dan kerjasama erat antara pentadbiran daerah serta wakil rakyat demi memastikan pembangunan Daerah Meradong terus diperkasakan secara berterusan.-EDISI UKAS