Penduduk Kawasan Berisiko Banjir Diingat Tingkat Kesiapsiagaan
BINTULU: Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir khususnya berhampiran sungai dan kawasan rendah dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata tahap kesiapsiagaan komuniti amat penting bagi memastikan keselamatan penduduk sekiranya berlaku kejadian banjir secara tiba-tiba.
Menurutnya, penduduk perlu sentiasa peka terhadap maklumat cuaca semasa dan mematuhi sebarang arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
“Sekiranya diarahkan berpindah, pastikan dokumen penting seperti kad pengenalan dan dokumen rasmi dibawa bersama bagi memudahkan urusan seterusnya,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan penyerahan tapak projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Kampung Sungai Sebuan Besar, Jepak, di sini, pada Selasa.
Beliau turut menekankan peranan penting ketua kaum, tuai rumah serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai saluran utama penyampaian maklumat terkini kepada penduduk di kawasan masing-masing.
Selain itu, Iskandar berkata penduduk juga digesa untuk sentiasa berhubung dengan Pejabat Daerah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) serta agensi berkaitan bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku kecemasan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada agensi kerajaan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) atas pelaksanaan kerja-kerja ‘ad hoc’ seperti penyelenggaraan saliran dan parit yang dilihat mampu mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan terjejas.-EDISI UKAS