Kerjasama Kerajaan Sarawak-PETRONAS Perkukuh Sistem Kesihatan Awam
KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) meneruskan komitmen dengan menyumbang pelbagai kemudahan perubatan asas kepada Klinik Kesihatan Batu Kawa dalam usaha meningkatkan kualiti serta akses perkhidmatan kesihatan luar bandar.
Majlis penyerahan kemudahan perubatan asas tersebut disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian di klinik berkenaan pada Rabu.
Dalam ucapannya, beliau menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai manifestasi kerjasama strategik berkesan antara sektor korporat dan kerajaan negeri dalam memperkukuh sistem kesihatan awam.
“Sumbangan peralatan perubatan oleh PETRONAS ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan komitmen sebenar bahawa setiap pihak mampu menyumbang dalam memperkukuh sistem kesihatan awam mengikut kemampuan masing-masing.
"Sistem penjagaan kesihatan yang berdaya tahan adalah asas kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan menyeluruh sesebuah negeri," katanya.
Beliau menegaskan bahawa sektor kesihatan merupakan antara teras utama pembangunan Sarawak selain pendidikan dan pelaksanaannya memerlukan pendekatan kolaboratif yang berterusan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.
“Walaupun keperluan sektor kesihatan amat besar dan mencabar, usaha berperingkat melalui kerjasama strategik seperti ini mampu membawa perubahan sekiranya semua pihak memainkan peranan secara ikhlas dan berterusan,” tambahnya.
Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Sarawak, Norazibah Md Rabu berkata sumbangan tersebut selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memastikan kesaksamaan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang komprehensif dan berkualiti, khususnya di kawasan luar bandar serta kawasan terkesan bencana alam.
Menurut beliau, sumbangan berkenaan merangkumi peralatan perubatan asas termasuk mesin ultrasound, MacroView Plus Otoscope, vascular doppler dan alat pemantauan tekanan darah, selain kelengkapan bukan perubatan bagi menyokong kelancaran operasi harian klinik.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerjasama PETRONAS bersama Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak sejak 2023 telah memberi manfaat kepada 17 klinik kesihatan luar bandar, dengan keseluruhan 26 klinik dikenal pasti menerima bantuan melibatkan peruntukan kira-kira RM1.3 juta di seluruh Sarawak.
Inisiatif berimpak tinggi ini turut menyokong pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dalam usaha membangunkan sistem kesihatan negeri yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat Sarawak.
Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden III merangkap Setiausaha Kehormat SABATI Dato Enn Ong Siok Ean, Pemangku Presiden SABATI Dato Doreen Mayang Uggah, Pengurus Besar Kanan Perhubungan Negeri Anuar Ismail, Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching mewakili Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr. Johnny Pangkas serta yang lain.-EDISI UKAS
Wartawan: Lonney Jinab Doris
Jurugambar: Douglas Demong