Naik Taraf Homestay Rh Magretta Pacu Pelancongan Komuniti Luar Bandar
JULAU: Projek Menaik Taraf Kemudahan Pelancongan di Homestay Rumah Magretta, Kerangan Buloh, Julau yang menerima peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) siap sepenuhnya dan memberi impak positif kepada operasi serta keceriaan inap desa berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, pelaksanaan projek itu bukan sahaja menambah baik kemudahan sedia ada, malah mencerminkan kesungguhan komuniti setempat dalam memperkasakan sektor pelancongan berasaskan komuniti.
“Projek ini membuktikan semangat kerjasama, komitmen dan kesungguhan penduduk Rumah Magretta dalam memartabatkan budaya tempatan di samping menjana ekonomi setempat melalui program homestay,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan pemeriksaan projek siap Menaik Taraf Kemudahan Pelancongan di Homestay Rumah Magretta, Kerangan Buloh pada Selasa.
Dato Rolland turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh penduduk setempat atas kejayaan menjayakan program inap desa berkenaan serta berharap usaha murni itu terus berkembang dan menjadi contoh kepada komuniti lain.
Sementara itu, Dato Rolland turut berkesempatan melawat Rumah Kennedy, Rantau Jempai di Ulu Kanowit bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Sarjan (B) Jeffery Thomas yang telah meninggal dunia pada 2 Januari lalu.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan mendoakan agar mereka terus tabah serta kuat menghadapi saat sukar ini.-EDISI UKAS