APM Samarahan Tingkat Kesiapsiagaan, Pantau Kawasan Risiko Banjir
KOTA SAMARAHAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Samarahan mempergiatkan rondaan serta pemantauan berterusan di beberapa lokasi berisiko banjir susulan keadaan hujan berterusan yang melanda daerah ini.
Menurut kenyataan Unit Perhubungan Awam dan Dokumentasi APM Samarahan, langkah proaktif itu dilaksanakan bagi memastikan situasi di kawasan rendah serta penempatan yang sering terjejas banjir sentiasa berada dalam keadaan terkawal dan selamat.
Antara kawasan yang diberi tumpuan termasuk Kampung Tanjung Bundong Fasa 3, Kampung Baru, Kampung Jegoi, Kampung Rembus, Kampung Plaie, Kampung Nangka, Kampung Sungai Empit, Kampung Pangkalan Kuap, Sungai Stigang, Taman APT serta Taman Desa Ilmu di Kota Samarahan.
APM Daerah Samarahan turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan berwaspada terhadap keadaan persekitaran serta perubahan cuaca semasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan terlibat diseru agar segera menghubungi talian kecemasan 999 atau APM Samarahan di talian 082-672999 sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau kenaikan paras air secara mendadak. -EDISI UKAS
Dilaporkan oleh:
Mahazul Aqby Seruji, Mohd Noorhamizan Hamid dan Muhammad Ridzwan Jemat
UKAS Bahagian Samarahan