Hakisan Ban Sungai Kampung Hulu Manggut Tarik Perhatian Ahli Parlimen Betong
BETONG: Keadaan hakisan ban sungai di Kampung Hulu Manggut, Saribas yang semakin serius susulan fenomena air pasang besar di Sungai Batang Saribas mendapat perhatian Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu yang turun padang pada Khamis mengadakan lawatan kerja bagi meninjau situasi sebenar di lokasi.
Lawatan tersebut bertujuan menilai tahap kerosakan ban sungai sepanjang kira-kira dua kilometer yang berfungsi sebagai benteng utama bagi menghalang limpahan air pasang ke kawasan penempatan penduduk kampung.
Menurut beliau, struktur ban berkenaan dilaporkan kerap mengalami kerosakan dan pecah akibat tekanan air pasang besar, sekali gus mendedahkan penduduk kepada risiko banjir, kerosakan harta benda serta ancaman keselamatan, khususnya ketika musim hujan.
Dalam tinjauan itu, beliau turut menerima taklimat daripada penduduk serta pihak berkaitan mengenai keadaan fizikal ban yang sudah uzur dan keperluan mendesak untuk kerja baik pulih atau naik taraf secara menyeluruh bagi menjamin keselamatan penduduk dalam jangka panjang.
Katanya, kehadiran beliau adalah bagi mendapatkan gambaran sebenar di lapangan sebelum sebarang tindakan susulan diambil dan dibawa ke perhatian pihak berwajib.
“Isu keselamatan rakyat adalah keutamaan. Laporan awal akan dikemukakan bagi meneliti penyelesaian yang bersesuaian, sama ada dalam jangka pendek mahupun jangka panjang,” katanya.
Penduduk Kampung Hulu Manggut menyambut baik lawatan tersebut dan menyatakan kelegaan apabila isu yang sekian lama membelenggu kampung mereka diberi perhatian secara langsung.
Lawatan yang dianjurkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan dan keselamatan komuniti luar bandar sentiasa terpelihara selaras dengan aspirasi pembangunan setempat.