APM Sebuyau Tingkat Pemantauan Kawasan Berisiko Banjir Susulan Hujan Berterusan
SEBUYAU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sebuyau mempergiatkan pemantauan rapi di beberapa kawasan berisiko banjir melibatkan Zon Sebuyau dan Zon Sebangan susulan hujan berterusan yang melanda kawasan ini.
Antara lokasi yang dipantau di Zon Sebuyau ialah Kampung Entanggor, Kampung Bulan, Kampung Lunying dan Bajong, manakala di Zon Sebangan melibatkan Kampung Sampat Sebangan, Kampung Sungai Ladong serta Kampung Seruyuk.
Selain pemantauan paras air, APM turut menjalankan pemeriksaan di kawasan kediaman penduduk yang terjejas apabila air masih menggenangi halaman beberapa buah rumah.
Menurut APM Sebuyau, walaupun paras air dilaporkan masih mengalami turun naik, keadaan keseluruhan setakat ini beransur stabil dan penduduk masih berada di kediaman masing-masing sambil memantau perkembangan semasa.
Namun, pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin serta perkembangan paras air sentiasa berada dalam keadaan terkawal.
Sebagai langkah kesiapsiagaan, APM juga meneruskan penilaian risiko serta menyalurkan amaran awal kepada penduduk melalui ketua kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan aplikasi WhatsApp komuniti bagi memastikan maklumat terkini dapat disampaikan dengan pantas.
Dalam pada itu, penduduk kampung dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan bersedia untuk pemindahan awal sekiranya hujan berterusan dan keadaan banjir bertambah buruk. -EDISI UKAS