20 Penerima Kelengkapan Sekolah Menerusi Inisiatif Sejahtera MADANI
LUBOK ANTU: Seramai 20 penerima dalam kalangan ibu bapa dan penjaga pelajar sekolah rendah serta menengah di Lubok Antu menerima barangan kelengkapan sekolah menerusi Program Inisiatif Sejahtera MADANI – Skop Pendidikan.
Sesi penyerahan barangan tempahan itu telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Lubok Antu, Akoi Ekau, di sini pada Jumaat.
Semasa berucap beliau menegaskan bahawa program ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam meringankan beban keluarga, khususnya di kawasan luar bandar menjelang sesi persekolahan.
Daripada jumlah tersebut, tujuh penerima membuat tuntutan bernilai RM500 bagi pembelian sendiri di cawangan Syarikat Hari-Hari berhampiran, manakala 13 penerima lagi menerima barangan kelengkapan sekolah melalui tempahan terus.
Program yang dilaksanakan melalui kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (ICU JPM Sarawak) dan Syarikat Hari-Hari ini diharap dapat membantu memenuhi keperluan asas pendidikan serta memberi motivasi kepada pelajar untuk memulakan sesi persekolahan 2025 dengan lebih bersedia.-EDISI UKAS