PPS SK Endap Dibuka Awal Pagi, 9 Mangsa Dipindahkan Akibat Hujan Berlarutan
KOTA SAMARAHAN: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Endap, Kota Samarahan dibuka pada jam 2.20 pagi Jumaat berikutan hujan lebat berterusan yang menyebabkan beberapa buah rumah di Kampung Endap terjejas.
Pembukaan PPS tersebut melibatkan seramai tiga Ketua Isi Rumah (KIR) dengan sembilan mangsa keseluruhan yang terpaksa dipindahkan sebagai langkah keselamatan awal bagi mengelakkan risiko lebih serius.
Operasi pembukaan PPS diselaraskan oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Samarahan dengan kehadiran Lt. (PA) Mohd Zaidi Jili bagi pihak Pegawai APM Daerah Samarahan untuk memantau situasi serta memastikan kebajikan mangsa terpelihara.
Keadaan cuaca yang tidak menentu serta hujan berlarutan sejak awal pagi dikenal pasti sebagai punca utama pembukaan PPS, khususnya bagi penduduk yang tinggal di kawasan rendah Kampung Endap dan berisiko dinaiki air.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Sebarang kecemasan boleh dilaporkan kepada APM Daerah Samarahan di talian 082-672999 atau talian kecemasan 999.
Pihak berkuasa akan terus memantau keadaan cuaca dan paras air bagi memastikan keselamatan penduduk setempat sentiasa terjamin. -EDISI UKAS