Program Gunting Rambut Percuma ‘Back To School’ Beri Manfaat Kepada Pelajar Kuala Rajang
SARIKEI: Program Gunting Rambut Percuma ‘Back To School’ kembali lagi sebagai inisiatif berterusan bagi membantu meringankan beban ibu bapa serta memastikan penampilan kemas dan keyakinan pelajar sekolah rendah dan menengah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, penganjuran program berkenaan mencerminkan keprihatinan berterusan terhadap kebajikan pelajar dan komitmen memperkasa peranan golongan muda dalam aktiviti kemasyarakatan.
“Program ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos persiapan persekolahan ibu bapa, malah memberi peluang kepada pelajar untuk hadir ke sekolah dengan penampilan yang kemas, segak dan lebih berkeyakinan.
“Pada masa sama, penglibatan anak muda sebagai tukang gunting dan urus setia turut membuka ruang kepada pemuda tempatan menyumbang bakti kepada komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena pelaksanaan Program Gunting Rambut Percuma ‘Back To School’ yang dijalankan secaraserentak di beberapa lokasi sekitar Kuala Rajang, pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumi Bersatu (PBB) Kuala Rajang, Kaunselor Mornurazli Morshidi berkata, setakat ini sebanyak 480 penyertaan direkodkan daripada sasaran 650 pelajar, dengan penyertaan masih dibuka sehingga 645 kupon yang disediakan digunakan sepenuhnya dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat.
Program berkenaan melibatkan 22 orang tukang gunting, kesemuanya anak muda dari kawasan Kuala Rajang dan dilaksanakan serentak di lapan lokasi melibatkan 24 ranting. -EDISI UKAS