SUK Sarawak Adakan Kunjungan Hormat Ke Atas SUK Sabah
KOTA KINABALU: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki telah mengadakan kunjungan hormat kepada Setiausaha Kerajaan Sabah Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong di Menara Kinabalu, di sini pada Khamis.
Dalam pertemuan tersebut, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar telah menyampaikan taklimat kepada Kerajaan Sabah berhubung operasi AirBorneo yang kini mengambil alih sepenuhnya Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) daripada MASwings.
Beliau yang juga Pengerusi AirBorneo memaklumkan bahawa pengambilalihan itu merupakan langkah strategik bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan udara yang lebih cekap, mampan dan berkualiti, khususnya bagi memenuhi keperluan mobiliti penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman di Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, inisiatif tersebut turut mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh keterhubungan udara di Borneo, di samping menyokong agenda pembangunan sosio-ekonomi rakyat kedua-dua negeri.
Selain itu, pertemuan berkenaan turut menjadi platform pertukaran pandangan antara kedua-dua pihak mengenai kepentingan bersama dalam memperkukuh integrasi wilayah Borneo serta merangka langkah-langkah strategik ke arah pembangunan yang lebih inklusif dan seimbang.
Mengiringi beliau dalam kunjungan tersebut ialah Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kewangan Sarawak, Datu Hasmawati Sapawi dan Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin.
Di kesempatan itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut merakamkan penghargaan atas kesediaan Kerajaan Sabah menerima kunjungan hormat tersebut.
Untuk rekod, AirBorneo telah melancarkan penerbangan sulung ke Mukah dan Tanjung Manis dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 2 Januari 2026 susulan kejayaan AirBorneo mengambil alih operasi MASwings secara rasmi berkuat kuasa 1 Januari 2026, hasil Perjanjian Jual Beli Saham yang dimeterai pada 12 Februari 2025. -EDISI UKAS