Projek Jalan Bako–Buntal Catat Kemajuan 26 Peratus, Dahului Jadual Asal
KUCHING: Projek pembinaan Jalan Bako–Buntal sepanjang 8.5 kilometer dengan kos bernilai RM123 juta kini mencatatkan kemajuan sebanyak 26 peratus dan mendahului jadual asal selama empat bulan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, projek yang melibatkan pembinaan jalan utama serta beberapa laluan cabang (spur road) di kawasan Kampung Buntal dan Kampung Bako itu dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun 2027 atau awal tahun 2028.
“Namun begitu kita menggesa pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama dengan kontraktor untuk memastikan projek ini dapat disiapkan lebih awal lagi daripada sasaran,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak projek pembinaan jalan tersebut pada Khamis.
Datuk Ir Aidel turut menyatakan keyakinan terhadap keupayaan kontraktor dalam menyiapkan projek ini lebih awal, termasuk pembinaan sebuah jambatan yang kini mencatatkan kemajuan yang baik.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan projek berjalan lancar tanpa sebarang isu utama berkaitan pembekalan bahan binaan seperti pasir dan tanah.
Bagaimanapun katanya, terdapat isu sekatan tanah yang belum dapat dimasuki oleh pihak kontraktor sepanjang kira-kira 600 meter di kawasan Buntal yang sedang ditangani oleh Jabatan Tanah dan Survei bersama JKR.
Menurut Datuk Ir Aidel lagi, apabila siap kelak, jalan tersebut akan menghubungkan kawasan Bako dengan Buntal sebelum bersambung dengan projek jalan dua hala dari Bulatan Yayasan Sarawak ke Santubong yang sedang dilaksanakan.
Dedahnya, jalan ini dijangka dapat mengurangkan masa perjalanan sehingga kira-kira 30 minit serta meningkatkan tahap kesalinghubungan dan kemudahan mobiliti penduduk di kawasan terlibat.-EDISI UKAS