80 Kanak-Kanak Asnaf Terima Manfaat Program ‘Back to School’ TBS Bahagian Lawas
LAWAS: Seramai 80 orang kanak-kanak daripada golongan asnaf menerima manfaat menerusi Program ‘Back to School’ anjuran Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Bahagian Lawas, dengan jumlah keseluruhan penyertaan dianggarkan mencecah 100 orang termasuk ibu bapa dan penjaga.
Ketua Bahagian Baitulmal Limbang dan Lawas, Nor Nadiah Abas berkata, program tahunan tersebut memberi penekanan kepada aspek kebajikan dan pendidikan sebagai persediaan awal kanak-kanak asnaf sebelum sesi persekolahan bermula.
Menurut beliau, inisiatif berterusan itu bertujuan meringankan beban ibu bapa di samping memastikan anak-anak daripada golongan berkenaan dapat memulakan sesi persekolahan dalam keadaan lebih selesa dan teratur.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Back to School Bersama Asnaf anjuran TBS yang berlangsung di Dewan Tabika Hikmah Lawas, di sini, pada Khamis.
Tambahnya, antara pengisian utama program adalah penyerahan bantuan awal persekolahan merangkumi keperluan asas pelajar, selaras dengan matlamat untuk memastikan tiada murid tercicir daripada arus pendidikan akibat kekangan kewangan.
Selain itu, pelbagai aktiviti sampingan turut dianjurkan bagi memeriahkan suasana termasuk senamrobik, permainan kanak-kanak serta pertandingan mewarna yang melibatkan penyertaan ibu bapa, sekali gus menggalakkan penglibatan keluarga dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
Program tersebut turut menyediakan perkhidmatan gunting rambut percuma hasil kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Anak-anak (YKAB) sebagai sebahagian daripada persediaan murid sebelum kembali ke sekolah.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa agar menghantar borang permohonan Bantuan Awal Kewangan Persekolahan dalam tempoh ditetapkan bagi memastikan anak-anak mereka tidak terlepas daripada menerima bantuan yang disediakan.-EDISI UKAS