Jajaran Batang Samarahan–Batang Sejingkat Lengkapkan Rangkaian Jalan Pesisir Samarahan–Kuching
SAMARAHAN: Jajaran kedua Projek Jalan Pesisir Samarahan–Kuching dari Batang Samarahan ke Sejingkat sepanjang kira-kira 17 kilometer (km) dikenal pasti sebagai segmen paling kritikal dalam memastikan kesinambungan penuh rangkaian jalan baharu yang menghubungkan kawasan pesisir ke Kuching.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, tanpa penyiapan jajaran tersebut, manfaat keseluruhan projek tidak dapat direalisasikan sepenuhnya walaupun dua pakej lain telah siap.
“Ini adalah jajaran yang sangat penting. Jika seksyen ini tidak siap, maka dua seksyen lain yang telah siap juga tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana pengguna masih perlu melalui Samarahan,” katanya semasa lawatan kerja ke tapak projek jalan baharu dari Tanjung Bako ke Jambatan Batang Samarahan, pada Khamis.
Beliau menambah, salah satu pakej utama sepanjang 6.3 km kini mencatat kemajuan fizikal sekitar 31.39 peratus, iaitu kira-kira 3.71 peratus lewat daripada jadual asal bersamaan hampir sebulan kelewatan.
“Pakej ini sedikit ketinggalan jadual. Namun kita telah meminta kontraktor untuk mempercepatkan kerja, khususnya dari segi penghantaran bahan binaan dan penambahan tenaga kerja,” jelasnya.
Datuk Ir. Aidel turut memaklumkan bahawa pakej lain dari Tanjung Bako ke Sejingkat telah siap sepenuhnya, manakala Jambatan Batang Sejingkat dijadualkan siap pada Jun akan datang.
“Kita berharap seksyen ini juga dapat disiapkan seiring supaya hubungan penuh dari Samarahan ke Kuching dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau menjelaskan, antara cabaran utama projek berkenaan ialah kerja penambakan tanah memandangkan laluan tersebut merupakan kawasan rendah dan luas.
Tambah beliau, tarikh siap baharu yang disemak semula bagi pakej berkenaan adalah pada Julai tahun hadapan, namun kerajaan negeri menekankan agar kerja dipercepatkan lebih awal daripada jadual tersebut.
“Kita mahu ia siap secepat mungkin kerana jajaran ini adalah kunci kepada objektif projek, iaitu membolehkan penduduk kawasan pesisir seperti Samarahan, Betong dan kawasan sekitarnya terus ke Kuching tanpa melalui pusat Samarahan,” katanya.-EDISI UKAS