Pejabat Penerangan Daerah Limbang Perkukuh Jalinan Strategik Bersama ADUN Batu Danau
LIMBANG: Hubungan kerjasama strategik antara Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Limbang dan Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N80 Batu Danau terus diperkukuh menerusi satu kunjungan hormat yang diadakan di Pusat Khidmat ADUN N80 Batu Danau, di sini, pada Khamis.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Pegawai Penerangan Daerah Limbang yang baharu, Sumardi Sugiman dan disambut oleh ADUN Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang.
Kunjungan ini diadakan sebagai platform rasmi bagi memperkenalkan Pegawai Penerangan Daerah yang baharu melapor diri bertugas, selain menjadi langkah awal mempereratkan hubungan kerja antara kedua-dua pihak dalam usaha memperkukuh penyampaian maklumat kerajaan kepada masyarakat setempat.
Dalam pertemuan berkenaan, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai peranan komunikasi strategik kerajaan, penyelarasan saluran maklumat rasmi serta pendekatan berkesan dalam memastikan dasar, inisiatif dan program kerajaan dapat disampaikan secara tepat, cepat dan menyeluruh kepada rakyat di kawasan DUN Batu Danau.
Dato Paulus turut merakamkan penghargaan atas kunjungan tersebut dan menegaskan komitmen beliau untuk terus bekerjasama rapat dengan Pejabat Penerangan Daerah Limbang.
“Saya amat mengalu-alukan kunjungan ini dan berharap kerjasama yang erat dapat diteruskan bagi memastikan maklumat rasmi kerajaan sampai kepada rakyat secara berkesan dan berfakta,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa peranan komunikasi yang tersusun dan berstrategi amat penting dalam memperkukuh kefahaman rakyat terhadap dasar serta usaha pembangunan yang dilaksanakan kerajaan di peringkat akar umbi.
Turut serta dalam kunjungan tersebut ialah Ahli Majlis Daerah Limbang, Kaunselor Elvis Mathew dan Kaunselor Mohd Hidayat.-EDISI UKAS