Pembinaan SK Sebemban Baharu Lonjak Kualiti Pendidikan Luar Bandar
SPAOH: Pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Sebemban disifatkan sebagai satu pencapaian penting yang menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan luar bandar di Kampung Sebemban dan kawasan sekitarnya.
Menurut Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu, infrastruktur sekolah yang lebih moden, selesa dan selamat mampu meningkatkan kemudahan pembelajaran serta merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.
Jelasnya, kemudahan pendidikan yang berkualiti merupakan nadi utama pembangunan masyarakat luar bandar kerana ia memberi kesan langsung terhadap keberkesanan proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) serta pencapaian akademik para pelajar.
“Pembinaan bangunan baharu SK Sebemban ini merupakan nadi pembangunan kepada masyarakat di Kampung Sebemban dan kawasan sekitarnya.
“Ia akan menjadikan keberkesanan P&P lebih baik kerana para pelajar dapat belajar dalam suasana yang lebih kondusif dan selamat,” katanya semasa menghadiri Program Pembinaan SK Sebemban Baharu di sini, pada Khamis.
Dato Dr. Richard menyatakan keyakinan bahawa pembinaan sekolah baharu ini akan membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak tempatan untuk menimba ilmu dalam persekitaran yang lebih teratur dan terjamin, sekali gus membentuk masa depan yang lebih cerah.
“Saya berharap dengan adanya sekolah baharu ini, ia mampu melahirkan pelajar yang berilmu, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan,” tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru warga sekolah serta penduduk setempat agar bersama-sama memelihara dan menjaga kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan supaya ia dapat dimanfaatkan dalam jangka masa panjang.
“Ini adalah aset masyarakat. Maka menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menjaga kemudahan ini dengan sebaiknya agar tidak berlaku kerosakan atau vandalisme,” ujar beliau. -EDISI UKAS