PPS Dewan Mesra Simunjan Dibuka Susulan Banjir, Tiga Kampung Terjejas
SIMUNJAN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Simunjan mengaktifkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Mesra, Simunjan berkuat kuasa Jumaat bermula jam 8 pagi tadi susulan hujan lebat berterusan yang mengakibatkan banjir di beberapa kawasan sekitar daerah ini.
Setakat ini, tiga kampung dikenal pasti terjejas akibat banjir iaitu Kampung Hijrah, Kampung Jalan Tun Openg dan Kampung Simunjan Jaya.
Pembukaan PPS Dewan Mesra Simunjan ini telah disahkan oleh Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Simunjan.
Menurut JPBD Simunjan, pembukaan PPS berkenaan merupakan langkah kesiapsiagaan dan tindakan segera pihak berkuasa daerah bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk terjejas, selain menyediakan perlindungan sementara yang selamat dan teratur kepada mangsa banjir.
Bagaimanapun, jumlah rasmi mangsa yang terjejas masih belum dapat dipastikan memandangkan proses pemindahan penduduk dari kawasan dilanda banjir ke PPS masih sedang dijalankan oleh pasukan penyelamat dan agensi berkaitan.
Operasi pemindahan dan pengurusan PPS dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah Simunjan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Majlis Daerah Simunjan (MDS) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Kerjasama semua agensi ini bertujuan memastikan aspek keselamatan, kesihatan, kebajikan mangsa serta pemantauan situasi banjir dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Sehubungan itu, orang ramai yang berada di kawasan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta memberi kerjasama sepenuhnya bagi melancarkan urusan pemindahan dan pendaftaran di PPS. - EDISI UKAS