Pembangunan Kenyalang Smart City Di Miri Melangkah Maju Dengan Pelancaran Fasa 1
MIRI: Pembangunan Kenyalang Smart City (KSC), sebuah zon pembangunan khas di Miri, terus mencatat kemajuan penting apabila Fasa 1 projek berkenaan dijangka dilancarkan dalam masa terdekat, sekali gus menjadi pemangkin kepada transformasi Miri sebagai bandar pintar bertaraf antarabangsa.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pembangunan Kenyalang Smart City merupakan projek strategik bukan sahaja untuk Bandaraya Miri, malah untuk Sarawak secara keseluruhan kerana berpotensi menarik pelaburan asing serta merancakkan ekonomi setempat.
"Ini pembangunan penting, bukan sahaja untuk Bandar Miri tetapi juga untuk Sarawak secara keseluruhan.
"Kawasan ini akan menarik pelaburan asing, jadi kita perlu memastikan fasiliti bertaraf dunia serta infrastruktur pengangkutan pintar," katanya ketika berucap dalam lawatan ke KSC pada Jumaat.
Tambahnya, lawatan ini juga bertujuan menilai kemajuan projek dan membincangkan perancangan pengangkutan awam pintar, termasuk laluan bas, pengangkutan dalaman, dan pertukaran pengangkutan, bagi kemudahan penduduk tempatan dan pelabur asing.
Dalam pada itu, pemilik projek Ar. Teo Ah Khing, memberikan kemas kini mengenai Fasa 1, yang akan merangkumi pembinaan Pusat Kenyalang Convention & Exhibition Centre Hall 1, yang mampu menampung sehingga 3,500 peserta.
Jelasnya, fasa ini juga melibatkan pembangunan pangsapuri, pusat membeli-belah, dan lot kedai bersebelahan Universiti Curtin, sebagai permulaan transformasi Miri menjadi bandar pintar inklusif.
Tambahnya, pembangunan ini juga akan menampilkan Universiti Perubatan Funtan dan Institut Perubatan Integratif Fudan (FDIIM), dengan pembinaan dijangka bermula tahun ini. Institusi-institusi ini dijangka menjadi pemangkin kepada pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan kenyalang Smart City dan Bandaraya Miri. -EDISI UKAS