Penduduk Kawasan Berisiko Diingatkan Ambil Langkah Awal Keselamatan
BINTULU: Penduduk yang menetap di kawasan rendah dan berpotensi dilanda banjir di daerah ini disaran mengambil langkah awal bagi melindungi diri dan keluarga susulan keadaan cuaca tidak menentu sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan penduduk tidak terdedah kepada risiko bahaya, terutama sekiranya paras air menunjukkan trend peningkatan.
“Penduduk dinasihatkan supaya tidak bertangguh membuat keputusan untuk berpindah jika keadaan tidak lagi selamat, dan segera memaklumkan kepada pihak berkuasa daerah bagi membolehkan bantuan diselaraskan.
“Selain itu, penduduk perlu memberi perhatian terhadap aspek keselamatan di kediaman masing-masing termasuk menutup bekalan elektrik dan menyimpan dokumen penting di tempat selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyerahkan bakul makanan kepada Pejabat Daerah Bahagian Bintulu untuk disalurkan kepada dua rumah panjang yang terjejas banjir di Ulu Sebauh pada Jumaat.
Sementara itu, Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan memaklumkan bahawa persediaan awal telah dilaksanakan melalui pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah sejak awal Januari.
Menurut beliau, pelbagai langkah telah diambil termasuk penyampaian maklumat kesiapsiagaan serta pengoperasian bilik operasi bagi memastikan sebarang keperluan kecemasan dapat ditangani segera.
“Bilik Operasi Bencana Bintulu telah mula beroperasi sejak 2 Januari 2026 dan orang ramai boleh menghubungi talian 086-310557 sekiranya memerlukan bantuan atau ingin melaporkan situasi banjir,” ujarnya.
Beliau memberitahu, pendekatan proaktif itu penting bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terpelihara sepanjang tempoh cuaca tidak menentu.- EDISI UKAS