PPS Balai Raya Kampung Nangka Dibuka, 42 Mangsa Banjir Dipindahkan
KOTA SAMARAHAN: Seramai 42 mangsa daripada 12 Ketua Isi Rumah (KIR) telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Nangka susulan kejadian banjir yang melanda kawasan Kampung Nangka, di sini, pada Jumaat malam.
Menurut laporan Unit Bencana PKMB Samarahan, PPS tersebut telah dibuka pada jam 7.30 malam, 9 Januari 2026, selepas arahan rasmi dikeluarkan oleh Pegawai Daerah Samarahan berikutan peningkatan paras air yang menjejaskan keselamatan penduduk.
Kejadian banjir berkenaan melibatkan kawasan di bawah Parlimen Kota Samarahan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang.
Mangsa yang ditempatkan melibatklan 14 lelaki dewasa dan 10 perempuan dewasa, selain enam kanak-kanak, sembilan warga emas, dua bayi serta seorang Orang Kurang Upaya (OKU).
Bagi memastikan kebajikan mangsa terpelihara, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengambil tindakan segera dengan menyalurkan makanan sedia dimakan serta kelengkapan tidur sebaik PPS dibuka pada hari kejadian.
Manakala pada 10 Januari 2026, proses pendaftaran mangsa bencana melalui aplikasi myIBJKM telah dilaksanakan, selain edaran makanan dan minuman pagi kepada semua mangsa yang ditempatkan di PPS.
Pengurusan PPS turut diselia oleh dua petugas JKM iaitu Nurul Earliana dan Dayang Fatimah, dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan sukarelawan.
Antara agensi terlibat ialah JKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA serta sukarelawan JKM, bagi memastikan operasi PPS berjalan lancar dan keselamatan mangsa sentiasa terjamin. -EDISI UKAS