Tiga PPS Dibuka Di Miri, Hujan Berterusan Cetus Banjir Kilat
MIRI: Hujan berterusan sejak semalam yang disertai fenomena air pasang besar (king tide) telah mencetuskan banjir kilat di beberapa kawasan sekitar Bandaraya Miri, sekali gus menyebabkan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan penduduk terjejas.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata, beberapa laluan utama di Miri didapati dinaiki air sehingga tidak dapat dilalui kenderaan biasa, termasuk di kawasan Desa Senadin yang dikenal pasti antara kawasan paling terjejas.
“Selepas lawatan kerja ke Kenyalang Smart City (KSC), saya mendapati paras air terus meningkat sehingga laluan ini tidak dapat dilalui kenderaan biasa.
"Hujan berterusan sejak semalam serta air pasang menyebabkan beberapa kawasan di Miri berdepan risiko banjir,” katanya ketika ditemui media dalam lawatan tersebut pada Jumaat.
Menurut beliau, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri melalui Pegawai Daerah Miri, Siti Rohanie Yusof, telah mengaktifkan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan penduduk terjejas.
PPS tersebut ialah Dewan Pusat Komuniti Tudan Fasa 4 yang menempatkan 64 orang, Masjid Darul Iman Kampung Tudan Fasa 2A yang menempatkan 35 orang, serta Dewan Pujut Tanjung Batu yang menempatkan 7 orang.
Dato Sri Lee turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko agar sentiasa berwaspada serta segera berpindah ke PPS sekiranya paras air terus meningkat.
Dalam pada itu, beliau mengarahkan jurutera daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta Majlis Bandaraya Miri supaya menjalankan pemeriksaan segera terhadap parit-parit utama dan kecil yang berkemungkinan tersumbat bagi membolehkan tindakan pantas diambil.
“Saya juga meminta kawasan di bawah jagaan Jabatan Kerja Raya (JKR), khususnya di laluan jalan utama di Kawasan Miri termasuk kawasan lereng bukit yang kini turut mengalami banjir, dipantau secara rapi. Sekiranya terdapat saliran yang tersumbat, tindakan segera perlu diambil,” ujarnya. -EDISI UKAS