Sri Aman, Betong Perhalusi Persiapan Penganjuran SUKSAR IV
SRI AMAN: Persiapan penganjuran Sukan Sarawak (SUKSAR) IV Sri Aman dan Betong diperhalusi menerusi mesyuarat penyelarasan yang diadakan di Pejabat Residen Sri Aman, pada Jumaat.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh itu bertujuan membincangkan serta menyelaras persiapan penganjuran SUKSAR IV yang dijadualkan berlangsung pada 5 hingga 8 Februari 2026 di Sri Aman dan Betong.
Antara fokus utama perbincangan ialah aspek logistik, penyediaan lokasi pertandingan, pengurusan teknikal, keselamatan serta pengukuhan kerjasama antara agensi pelaksana bagi memastikan kelancaran penganjuran kejohanan sukan peringkat negeri itu.
Dalam mesyuarat tersebut, beberapa acara sukan diputuskan akan diadakan di Sri Aman, antaranya bola keranjang, karate, petanque, ping pong, sepak takraw, sofbol dan tinju.
Penganjuran SUKSAR IV ini dijangka menjadi platform penting dalam mencungkil dan mengetengahkan bakat atlet muda Sarawak, selain memupuk semangat kesukanan serta memperkukuh perpaduan antara daerah.
Dalam pada itu, mesyuarat turut menekankan keperluan komitmen berterusan semua pihak terlibat agar setiap aspek perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan, sekali gus memastikan penganjuran SUKSAR IV di Sri Aman dan Betong berjalan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan. -EDISI UKAS