PPS Dewan Masyarakat Gedong Diaktifkan Susulan Banjir
GEDONG: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Daerah Gedong telah diaktifkan di Dewan Masyarakat Gedong hari ini sebagai langkah awal menangani situasi banjir susulan hujan lebat berterusan sejak semalam.
Pembukaan PPS berkenaan bertujuan menyediakan perlindungan sementara serta kemudahan asas kepada penduduk yang terjejas dan terpaksa dipindahkan dari kediaman masing-masing berikutan peningkatan paras air yang boleh menjejaskan keselamatan.
Antara kawasan yang dikenal pasti berisiko dan terlibat dengan pemindahan awal ialah Kampung Patinggi Muai dan Kampung Sungai Girang, Gedong.
Orang ramai yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko banjir dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta memberikan kerjasama sepenuhnya bagi melancarkan proses pemindahan dan pendaftaran di PPS.
Pembukaan PPS Dewan Masyarakat Gedong ini telah disahkan oleh Pegawai Daerah Gedong, Tamida Da’adi selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Gedong pada jam 12 tengah, Jumaat.
Operasi pengurusan PPS dan pemantauan banjir dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan termasuk Pejabat Daerah Gedong, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Daerah Gedong (MDG) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Simunjan.
Kerjasama bersepadu semua agensi ini bertujuan memastikan aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan mangsa, selain pemantauan situasi banjir, dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan. -EDISI UKAS