KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd (SMSB), yang sebelum ini merupakan anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), kini dimiliki sepenuhnya oleh Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak (SFS) berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Perubahan status ini berlaku susulan kejayaan pemindahan pegangan saham kepada SFS, yang seterusnya meletakkan SMSB sebagai Syarikat Milik Kerajaan Negeri (SOE).
Walaubagaimanapun, SEDC dalam satu kenyataan pada Khamis, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Sarawak, SFS, Lembaga Pengarah serta warga kerja SMSB atas kerjasama dan komitmen yang diberikan sepanjang proses peralihan tersebut.
Pihaknya turut menyatakan keyakinan bahawa SMSB akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan sistem pengangkutan awam serta kemajuan sosioekonomi Sarawak secara keseluruhan.
Penstrukturan strategik ini adalah sebahagian daripada inisiatif penstrukturan strategik kerajaan Sarawak bagi memperkukuh tadbir urus korporat, meningkatkan kecekapan operasi serta memastikan penyelarasan yang lebih erat dengan agenda pembangunan negeri.-EDISI UKAS