SUK Sarawak Lawat PPS Dewan Mesra Simunjan, Kebajikan Mangsa Banjir Keutamaan Kerajaan
SIMUNJAN: Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki turun padang melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Mesra Simunjan di sini pada Sabtu.
Lawatan itu bagi meninjau pengurusan operasi serta tahap kebajikan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat berkenaan susulan hujan berterusan yang melanda daerah ini.
Semasa lawatan, beliau menerima taklimat mengenai situasi semasa banjir, jumlah mangsa yang terjejas serta langkah-langkah yang telah diambil oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bagi memastikan keselamatan dan keselesaan mangsa sepanjang berada di PPS.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut menyantuni mangsa banjir serta merakamkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan dan penyelamat yang terlibat secara langsung dalam operasi pemindahan dan pengurusan PPS.
Dalam lawatan berkenaan, beliau menekankan bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan, khususnya ketika berdepan situasi bencana, dengan memastikan penyediaan keperluan asas mencukupi serta pemantauan berterusan dijalankan.
Lawatan ini jelas mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat, selain memastikan penyelarasan berkesan antara agensi di peringkat lapangan.
Turut hadir dalam lawatan berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe, Timbalan Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Abang Ahmad Abang Julai, Residen Bahagian Samarahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Simunjan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad dan Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Rafhan Kepli. -EDISI UKAS