Program Biu-Biu Superstar 2026 Bina Keyakinan, Disiplin & Kematangan Peserta
KUCHING: Program Biu-Biu Superstar 2026 satu inisiatif untuk membina keyakinan, disiplin dan kematangan para peserta dalam bidang komunikasi, seni persembahan dan industri kreatif.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, berkata program tersebut turut diiktiraf kerana mengangkat bahasa serta identiti tempatan Sarawak, sejajar dengan usaha memelihara budaya dan warisan negeri.
“Tahniah saya ucapkan kepada pihak penganjur serta seluruh pasukan Biu-Biu Superstar atas kejayaan menganjurkan program yang memberi fokus kepada pembangunan bakat dan jati diri anak muda Sarawak,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Setiausaha Politik beliau Rosalina Negin sempena Majlis Malam Gala Biu-Biu Superstar 2026, di sini, pada Sabtu.
Pada malam tersebut, tujuh peserta telah mempersembahkan bakat masing-masing melalui persembahan individu daripada Sopi Jon, Mike Harris, Martin Joe, Genievie Lenya, Mohd Khairulnisa, Michelle Matthew dan Mohd Farhan.
Datuk Snowdan dalam pada itu turut mengingatkan para peserta bahawa kejayaan tidak diukur melalui kemenangan semata-mata, sebaliknya melalui pengalaman, latihan dan cabaran yang dilalui sepanjang program sebagai satu proses pembelajaran yang bernilai.
Dalam majlis yang sama, beliau turut menyatakan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menyokong pembangunan bakat anak muda apabila sumbangan sebanyak RM10,000 telah diluluskan untuk disalurkan kepada pihak penganjur bagi menjayakan program ini.
Hadir sama, Penolong Pegawai Penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Maruni Langga, Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Nor Intan Pamin, Pengarah Urusan Music Rights (Sarawak) Berhad Sudaryo Osman, Pengarah Pembangunan Perniagaan Sumiran Eco Park & Resort Fara Ibrahim dan Pengerusi Kelas Seni Budaya Sarawak (KESERA) Noreen Manggie. -EDISI UKAS