PPS Depo Balai Ringin Dibuka, 150 Mangsa Banjir Dipindahkan di DUN Balai Ringin
BALAI RINGIN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Serian telah mengaktifkan sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin, susulan peningkatan paras air berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
PPS berkenaan mula dibuka pada 9 Januari 2026 jam 12.00 tengah hari dan beroperasi di Depo Balai Ringin di mana etakat ini, pusat tersebut menempatkan mangsa banjir dari Kampung Ensabang Pelaie, melibatkan seramai 37 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas.
Seramai 150 orang mangsa direkodkan berlindung di PPS berkenaan, terdiri daripada golongan dewasa, kanak-kanak, bayi, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
Pemindahan dilakukan sebagai langkah pencegahan awal bagi menjamin keselamatan penduduk daripada sebarang risiko bahaya akibat banjir yang melanda kawasan kampung tersebut.
Pengurusan dan pemantauan operasi PPS dikendalikan secara bersepadu oleh agensi-agensi di bawah JPBB Serian termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan, bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa sentiasa terpelihara.
Orang ramai, khususnya penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir, dinasihatkan agar terus berwaspada serta mematuhi arahan dan maklumat terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa. -EDISI UKAS