Dato Idris Tinjau Mangsa Banjir Di PPS Dalam Kawasan Muara Tuang
KOTA SAMARAHAN: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang bersama pasukan First Response Team N16 turun padang meninjau beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan penduduk terjejas akibat bencana banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri Muara Tuang.
Lawatan pertama semalam melibatkan PPS Dewan Lenggai Kampung Entingan yang menempatkan seramai 17 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan mangsa yang terjejas akibat banjir.
Dalam lawatan tersebut, Dato Idris telah menyampaikan Bantuan Makanan Asas (BMA) kepada semua keluarga terlibat bagi meringankan beban serta memastikan keperluan harian mereka terpelihara sepanjang berada di PPS.
Dalam setiap lawatan, Dato' Idris Buang meluangkan masa menyantuni para mangsa, menyampaikan sokongan moral serta menzahirkan rasa simpati atas dugaan yang menimpa mereka.
Beliau berharap semua mangsa terus bersabar, tabah dan cekal menghadapi ujian ini, di samping mendoakan agar keadaan kembali pulih seperti sediakala.
Lawatan kemudiannya diteruskan ke PPS Dewan Kampung Nangka yang menempatkan seramai 12 Ketua Isi Rumah (KIR) dari Kampung Nangka.
Di PPS tersebut, bantuan makanan asas turut disalurkan kepada semua mangsa banjir sebagai langkah segera memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.
Menurut beliau, pendekatan turun padang ini amat penting bagi membolehkan pemantauan keadaan sebenar di PPS dilakukan secara lebih dekat, di samping memastikan setiap mangsa menerima bantuan sewajarnya.
Pada sebelah petang pula, beliau bersama pasukannya meneruskan lawatan ke PPS Dewan Kampung Seniawan yang menempatkan seramai 30 Ketua Isi Rumah (KIR) dari Kampung Seniawan.
Seterusnya, beliau turut meluangkan masa melawat PPS Dewan Kampung Rimba Padi yang menempatkan seramai 42 Ketua Isi Rumah (KIR) dari Kampung Rimba Padi
Beliau menegaskan bahawa kebajikan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan, khususnya ketika berdepan dengan bencana alam.
Lawatan pada sebelah petang turut disertai Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Timbalan Residen Bahagian Serian Khalid Manap, Ketua Kaum Kampung Seniawan Anuar Unid serta Ketua Kaum Kampung Rimba Padi Mustapha Reli. -EDISI UKAS